MGG 3301
Kenapa Anwar Ibrahim Diberikan Layanan
Istimewa di Penjara? (MGG: Why Does Anwar Ibrahim Get Special
Privileges In Prison?) Catitan: Artikel asal disiarkan oleh ‘Keadilan’
keluaran terkini. Kita mudah terpedaya
setiap kali perdana menteri dan juga timbalannya memberitahu betapa mantan
timbalan perdana meneri Dato Seri Anwar Ibrahim, menerima layanan istimewa
dalam penjara. Kita mudah naik marah dengan cerita itu kerana beliau ialah
seorang banduan. Kita bertanya kenapa keistimewaan itu diberikan kepadanya
sedangkan orang lain tidak pun menerimanya? Di sinilah kita tersilap sesuatu.
Memang, dia menerima layanan istimewa itu kerana itulah yang diberikan
kepadanya oleh kerajaan. Bukannya
semua orang yang ditangkap di bawah Akta keselamatan Dalam Negara (ISA) yang
ditutup matanya dan digari tangannya dan diberikan asakan pukulan karate bertubi kali mengikut
ayunan khas yang dilakukan oleh Ketua Polis Negara. Tidak ada sesiapa yang dikenakan hukuman penjara begitu lama berasaskan tuduhan yang tidak
dapat dibuktikan seperti yang pernah
dilaluinya. Tidak ada sesiapa yang diberikan bilik khas sebesar sebuah
apatment studio, seperti yang disebut secara berulang-ulang oleh Dato’ Abdullah Badawi, lengkap dengan
kemudahan yang hanya dapat dimimpikan oleh banduan lain di Malaysia ini. Semua itu diberikan kepada beliau. Kenapa
agaknya? Kenapakah Perdana
Menteri dan timbalannya menyalahkan beliau kerana segala kemewahan yang diluluskan sendiri oleh Menteri Halehwal
Dalam Negeri? Dia dimasukkan ke hospital kerana menghidapi penyakit
yang dianggap oleh para doktor boleh membuatkannya lumpuh seandainya
dia tidak diberikan rawatan segera. Dia memerlukan rawatan di luar negara.
Saya diberitahu kerajaan bersedia membenarkan permintaannya itu sekiranya dia
bersetuju untuk tidak pulang kembali ke negara asalnya. Memang dia tidak akan
bersetuju dengan perkara itu. Pada 1973 dulu
dia ditahan di bawah ISA, sahabatnya telah mendapatkan biasiswa untuk beliau menyambung pelajaran di
Oxford, tetapi beliau enggan menerimanya
selagi kerajaan masih mengenakan akta drakonian itu terhadapnya. Apabila
kumpulan yang sama memberikan tawaran yang serupa sebelum dia ditangkap pada September 1998, dia menolak lagi,
kerana tidak mahu dianggap laksana seorang pencuri yang cuba lari di malam
hari. Kalau dia pergi juga ke luar negara untuk mendapatkan
rawatan, dia akan pulang semula, dan berkemungkinan menerima nasib yang
dilalui oleh Benigno Aquino. (Sanator Aquino telah pulang daripada Amerika
dan ditembak mati oleh pembunuh upahan di landasan ‘tarmac’ kapalterbang
Manila – penterjemah) Perdana menteri dan
timbalannya boleh terus mengeluarkan kata-kata yang muluk-muluk, merepet dan
jua meracau. Tetapi, secara berahsia mereka semakin sedar dan sanggup pula
mengakuinya bahawa musuh ketat mereka itu masih menerima sokongan dan simpati
rakyat marhaen. Kerjaya politik mereka kini banyak bergantung kepada apa yang
akan jadi akhirnya kepada Dato Seri Anwar. Penyakit yang ditanggung oleh
Anwar itu sudah dipolitikkan begitu hebat sekali, dengan daya usaha dan
kepintaran para penyokongnya; kalau berlaku sebarang bencana di meja bedah
kelak, ia akan dijadikan bukti betapa kerajaan mempunyai peranan dalam
bencana itu. Para penyokong Anwar sudah semakin galak mengulang kisah
kematian pengerusi Pantai Hospital,
Dato’ Wan Adli, yang menjalani
pembedahan kerana sakit resdung di hospital kepunyaannya sendiri dan mati
ketika dibedah. Kemudian diungkit
pula cerita letupan misteri yang
berlaku ke atas sebuah helikopter yang sepatutnya dinaikki oleh Anwar ketika
beliau menjadi timbalan perdana menteri dulu. Begitu juga dengan kisah Mercedes beliau yang terpaksa melanggar bukit di Langkawi
(kerana minyak berek yang kering - penterjemah). Tindakan dan laungan para
penyokong agar beliau menjalani
rawatan di luar negara sudah semakin
lantang kini. Tetapi , perkara itu sudah tidak penting lagi kerana para
doktor percaya adalah lebih baik kalau dilakukan ‘microsurgery’ ke atasnya.
Kalau rawatan begitu dilakukan risiko
beliau lumpuh adalah sedikit sahaja berbanding dengan pembedahan menyeluruh
yang sudah tentu membawa risiko yang lebih tinggi lagi. Tetapi, kenapakah beliau
dikurung bersendirian? Kenapa pula pihak kerajaan mengarahkan agar dua buah kamera dipasang dalam kamarnya – satu
kamera menghala ke arah pintu keluar dan satu lagi ke arah ruang dalaman?
Saya difahamkan pegawai penjara tidak pernah menggeledah kamarnya, tetapi
kerja jijik semacam itu dilakukan oleh orang lain pula. Kenapakah kamarnya
itu digeledah semasa dia berada di hospital?
Adakah untuk memeriksa samada dia mempunyai satu komputer peribadi
ataupun mempunyai talian telefon yang
boleh disambung kepada para penyokongnya? Layanan yang diterimanya itu tidak
seperti yang dinikmati oleh seorang banduan istimewa yang merupakan kroni perdana menteri, yang mempunyai tilam aqua
untuk tidurnya dan di malam hari dibiarkan keluar daripada penjara untuk
menguruskan perniagaannya. Menteri hal ehwal dalam negeri mempunyai hak
menentukan apa bentuk keistimewaan yang perlu diberikan. Dia boleh menamatkan
semua keistimewaan itu, tetapi risikonya dia terpaksa berhadapan dengan
penentangan yang lebih hebat lagi. Hakikatnya, Dato Seri
Anwar mungkin pernah membuat kesilapan di masa yang lalu, tetapi kini dia
adalah simbol segala kesilapan yang
berlaku dalam masyarakat Malaysia.
Kalau boleh kerajaan mahukan beliau lenyap begitu sahaja dari bumi
negara ini. Tetapi, di waktu yang sama kerajaan amat takut kalau-kalau perkara
semacam itu boleh berlaku. Kalau
boleh, dia mesti hidup dan mati pada satu waktu yang sama. Apa pun yang
mungkin berlaku sudah pasti mencetuskan kegusaran di kalangan pemimpin UMNO. Kerajaan sudah tidak
berdaya lagi mengabui pemikiran para penyokongnnya bahawa dia diberikan
layanan yang istimewa sedangkan dia tidak pun menerima semua itu. Inilah yang
membuatkan kisah Anwar itu menjadi satu saga yang menakjubkan. Dato Seri
Anwar telah memperjuangkan satu rukun
hidup yang bermaruah, dia tidak boleh
berganjak daripada pendirian itu kerana ini akan menamatkan riwayatnya. Sebetulnya
kerajaan sudah mati akal tentang cara
menangani masalah mereka dengan beliau. Lagipun kerajaan sudah buta
hati tentang tindakan yang patut dilaksanakan. -MGG Pillai- Diterjamahkan oleh MT
|